Saturday, July 21, 2012

Dia pergi jua.....

Akhirnya pada 2 Julai lepas kakak ipar saya telah kembali mengadap yang Maha Esa. Kami sekeluarga redha atas pemergiannya. Tapi sebagai manusia, setiap hari ingatan terhadap dia masih jelas diminda dan terbayang di mata. Tepat seperti yang dikatakan orang, kita tidak akan tahu sedalam mana kasih dan rindunya kita pada seseorang sehinggalah kita kehilangan orang tersebut. . Itulah yang sedang saya alami.

Saya sedikit ralat kerana tidak memeluknya sebelum meninggalkan hospital pada petang Sabtu (hari pertama beliau dimasukkan ke wad). Ketika itu, beliau masih sihat walafiat walaupun kelihatan sedikit letih dan pucat. Petang itu Nina masih sempat berbaring dan bermanja dengan beliau di atas katil hospital. Sebenarnya saya sedang berperang dengan perasaan sendiri pada petang tersebut. Ketika hendak melangkahkan kaki meninggalkan hospital,ada bisikan kecil dihati saya yang menyuruh saya memeluk, mencium dan memohon maaf dengan beliau. Tetapi akal saya pada ketika itu menahan diri dari berbuat demikian. Akal saya kuat mengatakan sekiranya saya memeluk, mencium dan memohon maaf dengan beliau tentu sekali perbuatan tersebut mengundang sangsi dimata abang, mak serta ahli keluarga lain. Beliau sendiri pun mungkin akan berasa pelik dengan tindakan saya. Akhirnya saya akur dengan kehendak akal. Saya tidak memeluk beliau tetapi hanya memaklumkan yang saya terpaksa pulang dan akan datang lagi keesokan harinya.

Sejujurnya walaupun dia hanyalah seorang kakak ipar, bagi saya dia adalah kakak saya. Jarak umur yang hampir menyebabkan saya selesa untuk bercerita dengan beliau. malah saya sebenarnya lebih banyak meminta tolong atau bercerita dengan beliau dari abang saya sendiri. Saiz badan kami yang hampir sama menyebabkan kekadang almari bajunya menjadi "butik saya ketika "emergency". Dia jugalah yang selalu membantu untuk membelikan tudung buat saya. Tambahan pula saya memang malas/ kurang berminat untuk kekedai memilih/membeli tuidung. Saya hanya membayar duit kepada beliau dan beliaulah yang akan memilih/membeli tudung buat saya.

Ketika saya menyambung pelajaran ke peringkat Master, selain mak dan aruah abah, abang saya dan beliau jugalah yang membantu menjaga Abang Long. Kebetulan pula ketika itu beliau belum lagi dikurniakan anak. Terkini, dari bulan November lepas sehinggalah tarikh saya kembali ke Msia (April), dia jugalah yang membantu mengenai persekolahan Abg Long. Abang Long sendiri pun dah mengaanggap beliau lebih dari mak saudara. Tambahan lagi semua anak anak saya membahasakan "mummy" dan " daddy" kepada beliau dan abang saya. Terlalu banyak jasa beliau didalam hidup saya.

Saya sebenarnya bukan saja kehilangan seorang kakak tetapi juga seorang kawan tempat mengadu. Tiada lagi senyuman atau tawa kecil ketika saya kelam kabut mencari baju/ tudung untuk menghadiri jamuan or majlis majlis. Tiada lagi tempat rujukan saya tatkala saya pening mengenai persekolahan anak anak. Anak anak saya juga kehilangan tempat bermanja sebagai ibu "kedua" mereka. Saya dan anak anak amat terasa akan ketiadaan beliau. Kekadang terfikir juga, kalaulah boleh berbual dan berdakap mesra walaupun seketika cuma mungkin akan terubat rindu dihati. Tetapi siapalah kita untuk menidakkan kehendak Allah.

Setiap kali selepas solat, dia berada didalam doa saya. Saya mendoakan agar dia, aruah abah, ayah dan chek ditempatkan dikalangan orang orang yang beriman. Muga dia mendapat segala kesenangan disana. Saya juga mendoakan agar Abang saya diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan dan mendidik anak tunggal mereka tanpa dia disisi.....

2 comments:

Nor Fadzlina Nawi said...

Salam Takziah kak ;'(, semoga kak sekeluarga tabah menghadapi dugaan ini.

Salam Ramadhan drp saya sekeluarga.

mamacrocs said...

Kita tak akan jumpa lagi yang sebaik dia dan kita tak mampu juga untuk jadi sebaik dia....semoga dikurniakan Allah kekuatan dan ketabahan untuk Ezi dan Daddy